Tuesday 31 May 2011

Membeli Belah di Pasar Malam Kerinchi

KERINCHI, 30 Mei- YB Nurul Izzah meluangkan masa membeli-belah di Pasar Malam Kerinchi, Lembah Pantai sambil bertanya khabar masyarakat sekitar. Turut serta Tuan Haji Mohd Sabu, AJK Pas Pusat dan Ustaz Adlin-YDP Pas Lembah Pantai.

YB Nurul Izzah serta rombongan turut mengedarkan risalah berkenaan dengan tarif elektrik kepada masyarakat sekitar. Ternyata masyarakat kerinchi amat ramah dengan YB Nurul Izzah selaku Ahli Parlimen kawasan Lembah Pantai.

Sambil mengedar risalah, rombongan juga sempat membeli juadah makanan sebelum bertolak ke Markas Pas Kampung Pasir untuk program ceramah isu-isu semasa.

Mengedar Risalah Kenaikan Tarif Elektrik

Bersama si kecil manis di pasar malam

Ceramah Isu-Isu Semasa di Markas Pas Kampung Pasir


Monday 30 May 2011

Program Berkhatan Perdana

PANTAI DALAM, 28 Mei - Seramai 24 kanak-kanak di antara umur 6 dan 12 tahun telah menyertai program berkhatan perdana di Dewan Penduduk Pantai Permai, anjuran Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai dengan kerjasama pasukan dari biro kesihatan ABIM.

Seramai 3 doktor bertauliah berserta 15 pembantu perubatan yang didatangkan khas dari Pusat Perubatan Al-Islam telah menjalankan prosedur khatan selama lebih kurang 3 jam tanpa henti.

Kanta Lembah Pantai difahamkan oleh sebab penerimaan program ini yang cukup memberangsangkan, satu lagi program berkhatan perdana insyaAllah akan diadakan pada penghujung tahun ini, sempena musim cuti sekolah yang lebih panjang.
Anak-anak serta ibubapa dan YB Nurul Izzah berarak ke dewan
Sambil berarak, kita bermesra 
Perarakan diiringi paluan kompang! 
Majlis dirasmikan YB Nurul Izzah, Ust Adlin, Ust Naiem, dan Dr Saifullah
"Kita mandikan mereka dulu!"
Sambil menunggu, kita berhibur
Menanti giliran 
Dr Saifullah memberi taklimat kepada sukarelawan sebelum bermula
Bilik operasi, empat sekali!
Setelah tamat, kita rehat

Tuesday 24 May 2011

Loji Rawatan Kumbahan - 100% lebih mahal?

YB Nurul Izzah bertanyakan mengapa harga naiktaraf loji meningkat 100%

Berikut adalah kenyataan media dari YB Nurul Izzah mengenai loji rawatan kumbahan Pantai 2, yang harganya nampak seperti sudah meningkat 100%!

Kanta Lembah Pantai berharap pihak yang berkenaan akan dapat menjelaskan isu ini dengan secepat mungkin.

=====

LOJI RAWATAN KUMBAHAN PANTAI 2: PANTAI 2 SEWAGE TREATMENT PLANT: TRANSPARENCY AT STAKE

Saya mewakili penduduk Lembah Pantai dan Kuala Lumpur secara umumnya, mengalu-alukan usaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk menaiktaraf Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 bagi mengurangkan bau dan bahaya loji tersebut kepada orang ramai.

Saya difahamkan Kementerian di peringkat akhir penganugerahan kerja-kerja penaiktarafan tersebut kepada kontraktor. Saya mengalu-alukan usaha mengubah loji rawatan kumbahan berdasarkan teknologi kolam terbuka kepada loji berjentera sesuai dengan pawai keselamatan terkini. Pun begitu saya juga menyeru agar wang rakyat yang besar yang dibelanjakan untuk projek ini diuruskan dengan telus.

Penaiktarafan Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 tidak terkecuali. Sebelum ini anggaran bebas meletakkan kerja-kerja penaiktarafan pada harga kira-kira RM500 juta.

Justeru, saya teramatlah prihatin memandangkan dalam pengetahuan saya, tiada usaha tender terbuka dibuat bagi kerja penaiktarafan Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2. Jika Kementerian sudahpun berada di peringkat akhir menganugerahkan kerja-kerja tersebut, ini bermakna projek tersebut dibuat secara rundingan terus dengan kontraktor. Apa yang membimbangkan saya ialah projek tersebut akan dianugerahkan pada nilai kontrak RM1 bilion, iaitu 100 peratus lebih mahal daripada anggaran pasaran.

Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak telah pun mengumumkan kepada rakyat bahawa amalan rundingan terus akan ditamatkan. Maklumat ini membuktikan program-program transformasi yang dijaja oleh Barisan Nasional tidak mempunyai sebarang makna. Apabila kita mengambilkira jumlah hutang kerajaan yang akan diwarisi oleh generasi mud anegara kita, dakwaan peningkatan kos 100 peratus ini teramatlah mendukacitakan.

Dengan ini saya menyeru Menteri yang bertanggungjawab untuk menjelaskan sama ada usaha tender telah pun dibuat untuk mendapat harga terbaik untuk projek ini. Saya juga berharap mereka yang mempunyai maklumat mengenai projek ini untuk tampil ke hadapan dan memberikan lebih maklumat agar kita dapat menghentikan sebarang penyalahgunaan wang rakyat.

Saya akan memantau secara dekat pelaksanaan projek ini untuk memastikan rakyat di Lembah Pantai dan Malaysia amnya mendapat nilai terbaik untuk wang mereka.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
24 MEI 2011

Monday 23 May 2011

Bantahan Penduduk Contessa Condo

BUKIT BANDARAYA, 23 Mei - Para penduduk Contessa Condominium di Bukit Bandaraya telah hari ini menghantar petisyen kepada pihak DBKL membantah pembangunan sebuah banglo di Jalan Kapas, Bangsar, yang berada di sebuah lereng bukit yang curam (melebihi 35 darjah).

Dalam pertemuan di antara wakil penduduk Contessa Condominium, Timbalan Presiden Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya (BBRA) En Mumtaz Ali, Ahli Parlimen Lembah Pantai YB Nurul Izzah, dan Pengarah Jabatan Perancang Bandar Tn Hj Mahadi Che Ngah, para penduduk telah menimbulkan rasa kesal mereka terhadap pemaju yang tidak bersifat terbuka dalam memaklumkan status sebenar pembangunan tersebut.

"Tapak ini akan dibangunkan menjadi unit rumah dengan 4 tingkat bawah tanah dan 10 tingkat ke atas. Kepadatan penduduk akan meningkat dari 30 seekar ke 79 seekar, iaitu penambahn 164%!" jelas En Mumtaz Ali.

"Kami tidak tolak pembangunan, tapi dalam kes ini di mana lebih 76% pemilik di Contessa Condominium membantah, pihak berkuasa harus mendengar rintihan kami," kata Dr Christopher KL Shun, salah seorang wakil penduduk Contessa Condominium.

"Kami berhak mendapat maklumat, termasuklah kepada 1) laporan penilaian kesan alam sekitar (environmental impact assessment), 2) kajian lalulintas di kawasan kami, dan 3) kajian kecerunan bagi tapak tersebut," tambah beliau.

Kanta Lembah Pantai difahamkan Pengarah Jabatan Perancang Bandar, Tn Hj Mahadi, akan pergi ke tapak petang ini untuk melihat sendiri tapak pembinaan tersebut.

"Kami bukan menolak pembangunan, tapi bagi kes pembangunan lereng bukit sudah terlalu banyak tragedi yang menimpa rakyat," jelas YB Nurul Izzah. "Saya kecewa kerana ini bukan kali pertama penduduk membantah projek tersebut... malah, saya dimaklumkan yang projek ini sebenarnya masih dalam pertimbangan dan belum pun diluluskan pihak DBKL!"

Kami di Kanta Lembah Pantai berharap agar pihak berkuasa prihatin dengan keresahan yang timbul di hati rakyat akibat projek ini, dan semoga satu jalan penyelesaian yang rapi dan adil akan dapat dicari bersama.


YB Nurul Izzah menjelas bantahan penduduk Contessa Condominium

Pembangunan di lereng curam (lebih 35 darjah) di Jalan Kapas, Bkt Bandaraya
Penduduk dimaklumkan tempoh bantahan ialah hingga 28 Mei 2011

Sunday 22 May 2011

Kejadian Tanah Runtuh di Hulu Langat

Kanta Lembah Pantai baru difahamkan sekurang-kurangnya 3 kanak-kanak yang menjadi mangsa kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Takwa di Hulu Langat semalam berasal atau punyai keluarga di Pantai Dalam.

YB Nurul Izzah yang berada di Hospital Kuala Lumpur dari sekitar tengah malam sehingga jam 3 pagi tadi untuk bersama ahli-ahli keluarga kanak-kanak tersebut, telah cuba untuk menahan post-mortem dari dilakukan tanpa pengetahuan atau makluman kepada ahli-ahli keluarga mangsa. "Mereka harus dimaklumkan dahulu," tambah beliau.

"Saya difahamkan Kerajaan Negeri Selangor akan cuba sedaya-upaya untuk membantu keluarga-keluarga mangsa kejadian tanah runtuh ini," jelas beliau melalui telefon. "InsyaAllah bantuan akan dihulurkan secepat mungkin."

Kanta Lembah Pantai juga dimaklumkan bahawa Exco Kerajaan Negeri Selangor, YB Elizabeth Wong, adalah antara yang pertama tiba di tempat kejadian di Hulu Langat.

Apa pun, marilah kita sedekahkan Al-Fatiha buat semua mereka yang telah pergi akibat malapetaka ini.

Saturday 21 May 2011

Penjelasan Tragedi Kebakaran di Pantai Dalam

Berikut adalah kenyataan daripada saudara Izhar Yusof, Pengarah Biro Aduan & Kemasyarakatan Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, membidas sebuah rencana dalam blog yang kononnya Ahli Parlimen Lembah Pantai lambat bertindak.

=====

Kebakaran di Jalan Kubur, Pantai Dalam 

Pada 15 April 2011,  jam 530pm, pihak Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai diketuai oleh saya selaku Pengarah Biro Aduan & Kemasyarakatan hadir ke tempat kebakaran. Hampir 14 buah rumah hangus terbakar. Perbincangan dilakukan dengan Pak Ruby, wakil penduduk.

Persetujuan dicapai bersama dgn En Jasni selaku pengerusi Madrasah Al Falah untuk memindahkan mangsa kebakaran ke madrasah tersebut. Pak Ruby selaku wakil pduduk bersetuju dengan tawaran tersebut sehinggalah Nong Chik hadir dan ingin memindahkan ke dewan yang lain. Isunya adalah kita memberikan alternatif lain iaitu pusat pemindahan sebelum tawaran lain yang diberikan kepada mangsa kebakaran.

Alhamdulillah, walau dana tiada, dan peruntukan dinafikan kepada pihak Ahli Parlimen oleh kerajaan pusat, kita (khususnya saya beserta Timbalan Ketua Cabang Keadilan Lembah Pantai, Encik Siddik Ibrahim dan warga KEADILAN lainnya) membantu mangsa seadanya dengan makanan, dan bekalan-bekalan keperluan untuk mangsa-mangsa bersama anak-anak kecil.

YB Nurul Izzah selaku ahli parlimen juga sempat menyerahkan zakat sekembalinya beliau daripada Sarawak pada 18 April 2011.

Tidak benar jika dikatakan kita tidak memberikan bantuan. Sewajarnya isu kebajikan yang diutamakan bukan retorik politik murahan untuk meraih undi.

Dan yang terpenting, diharap semua janji-janji yang ditabur oleh pihak UMNO termasuk Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar haruslah dikota.

Izhar Yusof
Pengarah Biro Aduan & Kemasyarakatan merangkap
Ketua AMK Keadilan Lembah Pantai

Wednesday 18 May 2011

PPR SERI ANGGERIK, 17 Mei - YB Nurul Izzah telah meluangkan masa untuk bersama suatu ceramah khas sempena Hari Ibu yang baru berlalu, di sini, anjuran AJK Surau PPR Seri Anggerik.

Diharapkan melalui hubungan yang semakin erat di antara Ahli Parlimen Lembah Pantai serta para penduduk PPR Seri Anggerik maka lebih banyak isu-isu setempat akan dapat diselesaikan, insyaAllah.


 

Tuesday 17 May 2011

Lawan tetap lawan!

Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Jln Duta 16 Mei 2011
KUALA LUMPUR, 16 Mei - Hampir 500 orang penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim telah hadir ke Mahkamah Jalan Duta pagi ini untuk memberi sokongan kepada beliau pada hari hakim membuat keputusan samada Datuk Seri Anwar harus membela diri ataupun tidak.

"Abang datang jam 6 pagi untuk dapatkan tempat dalam bilik perbicaraan, tapi rupa-rupanya sudah ada orang yang datang seawal 4.30 pagi untuk reserve tempat!" jelas seorang penyokong yang seringkali dipanggil Abang Lan Mamak. Beliau yang tidak kelihatan kecewa langsung kerana tidak dapat berada di bilik perbicaraan tetap penuh bersemangat di foyer mahkamah.

Para penyokong telah menunggu hampir 4 jam untuk mendapat tahu yang Datuk Seri Anwar telah diperintah untuk membela diri. Sambil menunggu, ramai yang melaung kata-kata azimat perjuangan "Re-for-ma-si!" dan ada yang menggunakan lagu ala penonton bolasepak tapi menukar senikata ke "Bebas, bebas, bebas, bebaaaassss... Bebas Anwar! Bebas Anwar!"

Agak lucu juga apabila beberapa orang peguam telah keluar dan ditemuramah wartawan. Kru TV3 telah dijadikan bahan ejekan apabila para penyokong menjeritkan "TV3 lucah! TV3 lucah!"

Tapi alhamdulillah, dari pengamatan Kanta Lembah Pantai, tiada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku.

Kita sama-sama nantikan perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan berlangsung 6-30 Jun ini.

Apakah agaknya keputusannya nanti...? ;)

Monday 16 May 2011

Ceramah "Bangkit Lawan Politik Fitnah!"

GASING INDAH, 15 Mei - Lebih 300 orang warga Lembah Pantai dan Petaling Jaya telah menghadiri ceramah "Bangkit Lawan Politik Fitnah!" di Dewan MBPJ Gasing Indah malam tadi.

Ceramah anjuran KEADILAN Lembah Pantai ini telah dibarisi penceramah tersohor termasuklah YB Nurul Izzah Anwar, YB Saifuddin Nasution, YB Zuraida Kamaruddin, dan Cik Faekah Husin (setiausaha politik Menteri Besar Selangor). Turut sama memberi sepatah dua kata ialah Ust Adlin, YDP PAS Lembah Pantai.

Program malam ini telah dimulakan dengan bacaan doa oleh Ust Shamsul (menariknya beliau jugalah yang mengingatkan salah seorang "Datuk T" akan hukum qazaf di masjid di Sentul beberapa minggu yang lalu!).

Antara isu-isu yang dikupas penceramah termasuklah isu ugutan SMS yang diterima YB Nurul Izzah, yang mengugut keselamatan anak beliau selagi beliau mempertahan Datuk Seri Anwar Ibrahim; isu kejayaan negeri Selangor terutamanya dalam menambahbaik taraf kehidupan warga Selangor melalui Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan air percuma; isu "Datuk T" & Ibrahim Ali yang ingin menjadi seperti Salahuddin al-Ayubi (hahahahahhaa!) dalam berjihad menentang penganut Kristian.... dan betapa Ibrahim Ali takkan jadi seperti Salahuddin al-Ayubi... dan banyak lagi.

Nantikan siri ceramah yang berikutnya!

Lebih 300 orang hadir untuk ceramah 'Bangkit Lawan Politik Fitnah'
YB Nurul Izzah berucap, semangat berapi!
Cik Faekah Husin, setiausaha politik MB Selangor
YB Saifuddin Nasution mengupas isu semasa
Walaupun program tamat jam 12 tgh mlm, dewan tetap penuh!
Cik Faekah, YB Nurul Izzah, YB Saifuddin, Ust Adlin YDP PAS LP, Sdr Amin

Saturday 14 May 2011

Bangkit Lawan Politik Fitnah!


KEADILAN Lembah Pantai akan mengadakan satu ceramah umum bertajuk "Bangkit Lawan Politik Fitnah" pada 15hb Mei ini, jam 9mlm di Dewan MBPJ Gasing Indah, Petaling Jaya.

Antara penceramah yang akan hadir termasuklah YB Nurul Izzah, YB Saifuddin Nasution, YB Zuraida Kamaruddin, dan Cik Faekah Husin (setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor).

Kami di Kanta Lembah Pantai juga difahamkan mungkin akan hadir beberapa lagi tokoh politik nasional, tapi belum boleh kami maklumkan.

Semua dijemput hadir!

Masalah air di Flat Sri Pahang

BUKIT BANDARAYA, 14 Mei - Penduduk yang tinggal di flat DBKL Sri Pahang semakin gelisah akibat masalah gangguan bekalan air yang telah mereka alami lebih sebulan.

Kanta Lembah Pantai difahamkan yang walaupun laporan telah dibuat dengan pihak Syabas dan juga DBKL, namun hingga ke hari ini masih belum ada apa-apa tindakan susulan yang diambil pihak tersebut.

Keadaan ini amat mendukacitakan, kerana gangguan bekalan air ini mendatangkan kesusahan kepada para penduduk, terutamanya warga tua, orang kelainan upaya (OKU), dan juga ibu-ibu mengandung. Air cuma boleh didapati daripada tangki-tangki sementara yang diletakkan di tingkat bawah flat tersebut.

Kami di Kanta Lembah Pantai berharap masalah ini akan diselesaikan dengan cepat, dan meminta semua pihak yang berkenaan untuk bekerjasama demi kebaikan penduduk.

Beberapa anggota KEADILAN mendengar keluhan penduduk

Penduduk harus mengangkat baldi-baldi air ke unit-unit mereka

Hingga hari ini masalah air masih belum selesai
Nota: Flat ini terletak tak berapa jauh dari pejabat bahagian sebuah parti yang kononnya "memperjuangkan" (ada yang sebut "memperju-wang-kan") nasib penduduk Lembah Pantai... tapi tak jugak dibantu... aduhai!

YB Nurul Izzah buat laporan polis

Kami baru terima maklumat bahawa YB Nurul Izzah akan ke Balai Polis Dang Wangi pada Jumaat, 13 Mei, jam 9 pagi untuk membuat laporan polis mengenai suatu SMS yang beliau terima.

Menurut sumber yang mengenali beliau, Kanta Lembah Pantai difahamkan SMS ini telah mengugut keselamatan anak beliau.

Na'uzubillahi min zalik!

UPDATE

YB Nurul Izzah Anwar telah membuat laporan polis di IPD Dang Wangi pada jam 9.20 pagi, Jumaat 13 Mei 2011. Beliau ditemani Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bapa mertua beliau, beberapa orang peguam, serta anggota-anggota KEADILAN Lembah Pantai.

Dalam laporan polis tersebut, YB Nurul Izzah telah memaklumkan bahawa seorang individu telah cuba menghubungi beliau beberapa kali sebelum menghantar SMS yang mengugut sesuatu yang buruk - seperti yang telah berlaku kepada adik Sharlinie - bakal menimpa anak beliau Raja Nur Safiyah binti Raja Ahmad Shahrir (umur 3 tahun) sekiranya YB Nurul Izzah tidak berhenti menyokong bapanya.

Tindakan mengugut yang buruk lagi keji ini memang tidak patut diberi tempat dalam masyarakat kita. Kanta Lembah Pantai turut difahamkan bahawa tindakan mengugut ini salah di sisi undang-undang menurut Seksyen 503 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 120A Kanun Keseksaan (konspirasi jenayah), dan Seksyen 364 Kanun Keseksaan (menculik dengan tujuan membunuh dan/atau menyebabkan kematian).

Semoga si durjana ini dibawa ke muka pengadilan!

YB Nurul Izzah menunjukkan handphone yang telah menerima SMS ugutan itu
Laporan polis berkenaan

Wednesday 11 May 2011

Kejohanan Badminton Piala Nurul Izzah

Kejohanan Badminton Piala YB Nurul Izzah telah diadakan dengan jayanya pada 7hb Mei yang lalu di Jalan Kelang Lama, Petaling Jaya.

Sebanyak 32 pasangan pemain telah menyertai kejohanan terbuka beregu lelaki ini, dan pertandingan telah dirasmikan oleh YB Nurul Izzah Anwar.

Program anjuran AMK Lembah Pantai ini telah mendapat sambutan yang cukup hebat, dan ramai tertanya-tanya apakah program seterusnya yang bakal diadakan!

Merasmikan kejohanan dengan bermain satu round...

YB Nurul Izzah dan Raja Shahrir, dalam round perasmian


Pertandingan semakin hangat!


Wednesday 4 May 2011

Pemeriksaan mammogram percuma

Program pemeriksaan mammogram percuma pada 30hb April anjuran Wanita KEADILAN Lembah Pantai telah mendapat sambutan yang hebat. Seramai 25 orang wanita dari PPR Pantai Permai dan Bangsar telah menyertai program tersebut, yang telah diadakan di Pusat Kanser Negara di Kuala Lumpur.

Dr Dalella, salah seorang doktor yang bertugas di pusat tersebut, telah menyatakan kesanggupan beliau untuk memberikan rawatan secara percuma kepada para penduduk Lembah Pantai yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan.

Kepada yang berminat untuk menyertai program sebegini di masa hadapan, bolehlah menghubungi Azura di +6017 365 1342.

Salah seorang doktor memberi taklimat sebelum pemeriksaan dilakukan

Taklimat menggunakan model perubatan

Menanti giliran masing-masing

Seorang peserta memberikan maklumat peribadi

Di ruang menunggu

Gambar kenang-kenangan

Tuesday 3 May 2011

Nak buat akhbar pun susah...

PUTRAJAYA, 3 Mei - YB Nurul Izzah dan saudara Hata Wahari pada pagi ini telah bertemu dengan beberapa pegawai dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Bahagian Penerbitan dan Kawalan Teks Al-Quran, berkenaan permohonan untuk menerbitkan sebuah akhbar mingguan bertajuk 'Utusan Rakyat'. 

Pertemuan selama 45min ini telah membincangkan penggunaan perkataan 'Rakyat' dalam nama akhbar tersebut.

"Mengikut apa yang dikatakan pihak KDN, penggunaan perkataan 'rakyat' tidak boleh dibenarkan kerana ia mungkin mengelirukan pembaca," jelas En Hata, yang bakal menjadi ketua pengarang akhbar tersebut sekiranya ia diluluskan.

"Perkataan 'rakyat' itu adalah sebahagian dari jati diri kamu," kata Pn Nurul Izzah. Beliau turut mengharap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, akan tetap meluluskan permit penerbitan akhbar ini, yang bakal diedar sekitar Kuala Lumpur, Selangor, dan Perak.

Ironisnya, perbincangan permit penerbitan ini diadakan pada Hari Kebebasan Media Sedunia (World Press Freedom Day).

YB Nurul Izzah dan Hata Wahari (kanan) di KDN
"Perkataan 'rakyat' pun tak boleh guna?"

Monday 2 May 2011

Amalkan gaya hidup sihat

BUKIT BANDARAYA, 1 MEI - Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya bersama YB Nurul Izzah telah mengadakan sesi berjoging di Bukit Bandaraya, Bangsar pada hari ini. Sesi selama lebih kurang sejam ini telah disertai lebih kurang 15 orang penduduk.

Selain menikmati udara nyaman di awal hari Ahad, kegiatan joging ini turut membantu merapatkan hubungan sesama jiran dan juga membantu Ahli Parlimen Lembah Pantai lebih mengenali masalah-masalah yang dihadapi serta isi hati penduduk Bukit Bandaraya.

Semoga hubungan sesama warga Lembah Pantai bertambah erat!

Bersama wanita Bukit Bandaraya

Berborak sambil berjoging

Bergambar seketika bersama penduduk Bukit Bandaraya

Menikmati udara nyaman di pagi hari

Kita minum dulu!