pajakan sekolah
KUALA LUMPUR - Bimbang keadaan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK) (T) di Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields, di sini dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan, kerajaan digesa memberi penjelasan berhubung status pajakan sekolah itu yang akan tamat pada 2017.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, pihaknya menerima aduan daripada bekas pelajar sekolah yang menyatakan kebimbangan mereka sekiranya sekolah itu menerima nasib sama, seperti berlaku kepada sebuah SJK Cina berhampiran yang diberi kata putus untuk dipindahkan.

Menurutnya, walaupun dalam Draf Pelan Kuala Lumpur 2020, sekolah itu masih tersenarai, kebimbangan­ apabila geran pajakan tamat berakhir pada 2017, tetap ada kerana tiada sebarang jaminan diberikan setakat ini.

“Sekolah ini penting untuk dikekalkan memandangkan pembangunan sedang giat dijalankan, ia akan menyumbang kepada kemasukan murid baru.

“Saya gesa kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar memberi makluman dan kepastian kerana sekarang ini kita tertunggu-tunggu, kita tidak mahu kelak, tanpa ada sebarang penjelasan, ia dirampas seperti keputusan memindahkan sebuah SJKC berhampiran,” katanya pada sidang media di Brickfields, semalam.

Beliau berkata, dalam hal seumpama itu, kerajaan perlu lebih sensitif untuk mengekalkan bangunan yang mempunyai nilai sejarah kerana mampu menjadi keunikan di sesuatu kawasan itu sendiri.

Katanya, melihat contoh Sekolah Perempuan Bukit Bintang yang kini sudah menjadi sebuah pusat membeli belah, termasuk Lapangan Terbang Subang yang dirobohkan, ia ibarat tiada usaha dalam memelihara bangunan lama yang bersejarah.

“Sekolah ini wujud sebelum merdeka lagi iaitu sejak 1954, saya percaya pemegang geran pajakan akan berusaha memastikan kerajaan dapat menyambung tempoh pajakan sekolah ini dan saya sendiri akan membantu mereka membawa perkara ini kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dibincangkan di peringkat Parlimen,” katanya.

Sementara itu, salah seorang bekas murid sekolah berkenaan, Peter Sinniah, 58, berkata, kawasan tapak sekolah itu dahulunya adalah lokasi pembuangan sampah dan setelah urusan pajakan dibuat pada 1924, pemegang geran mula membina sekolah.

Menurutnya, pada 1974, pentadbiran sekolah sudah diberi semula kepada kerajaan dan sejak tahun itu, banyak urusan kebajikan sekolah ditanggung melalui ihsan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Persatuan Bekas Pelajar sendiri.

“Sekolah ini sudah banyak melahirkan tokoh, jika ia dipulihara, saya percaya mampu menarik lebih ramai murid mendaftar di sekolah ini, apatah lagi ramai menyuarakan keinginan­ mahu lihat bangunan ini terus dikekalkan,” katanya.