Thursday 31 May 2012

Laporan Polis oleh Mangsa Malam Berdarah Lembah Pantai


Laporan polis telah dibuat oleh mangsa 'keganasan politik dan samseng' pada 26 Mei 2012 (Sabtu) jam 11.30 pagi di Balai Polis Pantai, Pantai Baharu. Laporan ini dibuat agar pihak polis mengesan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang melakukan provokasi murahan sehingga menyebabkan kecederaan kepada hadirin yang hadir pada ceramah di Lembah Pantai malam tersebut.



Laporan polis juga turut dibuat oleh emak kepada seorang kanak-kanak berumur 12 tahun yang cedera di tangan akibat terkena balingan batu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Laporan polis tersebut telah dibuat pada malam kejadian ceramah tersebut iaitu 24 Mei 2012.



Malam Itu di Kerinchi oleh YB Khalid Samad

Pada malam itu, 24 Mei 2012, di kawasan Kerinchi, Lembah Pantai, UMNO membuktikan sekali lagi mengapa mereka perlu ditolak rakyat Malaysia. Pada malam tersebut kebiadaban yang cuba disorok selama ini telah terserlah, masyarakat Melayu yang penuh dengan adab dan adat telah bertindak samseng, mengganggu ceramah PR dengan membaling batu, telur dan juga membocorkan tayar kenderaan. Maka amat jelas sekali bahawa UMNO hanya mampu merosakkan minda Melayu, membawa Melayu menjadi bangsa yang tidak bertamaddun dan beretika.

Namun kesan terhadap tindakan pengecut tidak sepertimana yang mereka harapkan apabila lebih ramai rakyat yang hadir bersama ceramah PR. Walaupun diancam sedemikian rupa program tetap diteruskan. Rakyat tidak bersurai walaupun terpaksa menyaksikan seorang warga mas cedera berdarah dahinya terkena batu yang dilontar dari jauh. Beliau berjalan beberapa langkah setelah terkena batu dan saya melihat dahinya berdarah, bajunya bertompok-tompok dengan darahnya sendiri sebelum tiba-tiba rebah dan disambut orang-orang di tepinya. Beberapa orang memapahnya dan membawanya ke belakang.

Dalam keadaan trauma sebegitu sekalipun, rakyat tidak berganjak. Atas sikap istiqamah rakyat yang terus bersama, ceramah diteruskan oleh DSAI dan ditutup akhirnya oleh diri saya sendiri. Rakyat tidak berganjak sehingga majlis berakhir. 

Tetapi apa yang saya kesal dan kasihan ialah pihak Polis yang hadir bertugas pada malam itu. Pasti mereka ingin menghalang dan mungkin juga menangkap samseng-samseng belaan UMNO tetapi mereka terpaksa mendiamkan diri. Samseng-samseng ini tidak boleh disentuh, maka di atas sebab UMNO berkuasa, kredibiliti polis terjejas. Rakyat tertanya-tanya mengapa Polis tidak bertindak dan akhirnya hilang kepercayaan kepada pihak Polis. Oleh itu, pihak Polis yang ingin menyelamatkan institusi Polis sebelum terlambat perlu menolak UMNO dan mengundi PR.

Selepas ceramah selesai, sekembali saya ke kereta, saya dapati tayar belakang belah pemandu telah kempis. Kami terpaksa membukanya dan menggunakan tayar ganti. Pasti kerja samseng yang sama juga dan sebaik sahaja kami selesai, datang sebuah kereta dan berhenti di tepi saya. Tuan kereta menurunkan cermin dan memberitahu bahawa tayarnya juga telah didapati kempis! Seorang lagi yang menjadi mangsa budaya samseng yang semakin bermaharajalela.

Ini semua merupakan bukti bahawa UMNO semakin nazak dan tidak tahu apa perlu dilakukan untuk mengatasi masalah mereka. Adakah mereka fikir tindakan samseng akan menyebabkan rakyat menyokong mereka dan seterusnya mengundi mereka? Jelas mereka tidak mengenali rakyat Malaysia.

Usaha baling batu sembunyi tangan dengan kaedah out-sourcing ataupun melalui budaya sub-con kerja-kerja terkutuk kepada NGO seperti PERKASA, JATI, Bekas Tentera dan sebagainya tidak akan berjaya untuk menipu rakyat. Semua tahu ianya kerja siapa. Kerja sebuah parti yang terdesak serta sedang nazak dan melibas ke kiri dan ke kanan. Tetapi apa yang pasti ialah insyaAllah UMNO akan terkubur dalam sejarah dengan penuh kehinaan dengan dicaci rakyat.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Ceramah KEADILAN Lembah Pantai

Ikuti sedutan ceramah di Lembah Pantai pada 24 Mei 2012. Antara penceramah yang hadir ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, YB Nurul Izzah Anwar, YB Tian Chua, Sdr Shamsul Iskandar dan YB Khalid Samad ;

1) Ceramah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim-Ketua Pembangkang Malaysia


2) Ceramah oleh YB Nurul Izzah Anwar-Ahli Parlimen Lembah Pantai


3) Ceramah oleh YB Tian Chua-Ahli Parlimen Batu


4) Ceramah oleh Sdr Shamsul Iskandar Mat Akin-Ketua AMK Pusat


5) Ceramah oleh YB Khalid Samad-Ahli Parlimen Shah Alam


"Malam Kesedihan di Lembah Pantai"

24 Mei 2012- Ceramah KEADILAN Lembah Pantai di perkarangan flat Perumahan Pantai Permai yang pada mulanya berada dalam kemeriahan Demokrasi menjadi kecoh apabila 'beberapa individu' membaling batu, telur dan botol air ke arah hadirin yang berkumpul untuk mendengar ucapan daripada pemimpin KEADILAN.

Kehadiran warga Lembah Pantai dan masyarakat sekitar bagi mendengar ucapan pemimpin-pemimpin terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diganggu dengan suasana yang amat mendukacitakan ditambah pula dengan provokasi murahan pihak tertentu.

 Ceramah pada malam itu yang dimulai oleh YB Tian Chua, kemudian Sdr Shamsul Iskandar Mat Akin selaku Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat. Sejurus sahaja YB Nurul Izzah memulakan ceramah beliau, PA System tiba-tiba tidak berfungsi. Kedengaran teriakan "wayar dipotong"..."wayar dipotong". Ternyata, wayar telah disabotaj lagi. 

Keadaan mula menjadi kelam kabut apabila telur dibaling kearah orang ramai yang hadir di ceramah tersebut. Bukan sahaja telur, bahkan batu juga dibaling menyebabkan seorang pakcik cedera setelah batu yang dilempar terkena kepala beliau.



Kejadian ini berlaku ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menyampaikan ucapan di hadapan ribuan warga Lembah Pantai. Politik Samseng dan Ganas sekali lagi dinampakkan di hadapan yang hadir. Tidak cukup dengan itu, ceramah Ketua Pembangkang diganggu berulang kali dengan teriakan dan pekikan suara sumbang ditambah lagi gangguan laser dari flat yang berdekatan.

Rupanya, bukan hanya pakcik ini sahaja yang menjadi mangsa pada malam itu, tetapi hadirin yang hadir dikejutkan dengan kecederaan seorang anak kecil berumur 12 tahun yang cedera di tangan apabila terkena batu yang dibaling. 


Warga Lembah Pantai dan seluruh Rakyat Malaysia menolak "Politik Samseng dan Politik Ganas"

Gambar-gambar sekitar Ceramah di Lembah Pantai ;