Monday, 27 June 2011

Kempen Cegah Jenayah

BANGSAR BARU, 23 Jun - Satu program Pencegahan Jenayah telah diadakan di Kompleks Sukan Bangsar pada hari ini. Program anjuran Bangsar Baru Residents Association (BBRA) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) ini telah dihadiri ramai penduduk di kawasan tersebut.

YB Nurul Izzah dan YB Senator Raja Nong Chik telah hadir untuk memberi sokongan kepada program tersebut, yang memperlihat pihak PDRM melakukan demonstrasi aktiviti jenayah, dan bagaimana penduduk boleh mengelakkan diri dari menjadi mangsa kegiatan jenayah seperti kecurian dan ragut.

Setelah demonstrasi diadakan, penduduk di kawasan Bangsar telah mendapat peluang untuk menanyakan soalan-soalan kepada para pegawai polis dari Balai Polis Brickfields.

Nota: Marilah kita sama-sama bekerja untuk membanteras aktiviti jenayah, demi kehidupan yang lebih selesa dan selamat.

YB Nurul Izzah beramah mesra sebelum program bermula

Sedikit ucapan di awal majlis

Bersihkan!

KUALA LUMPUR, 19 Jun - YB Nurul Izzah telah bersama lebih kurang 1,000 orang telah menghadiri pelancaran himpunan aman BERSIH 2.0 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (Chinese Assembly Hall). Pelancaran ini, yang dianjur badan-badan bukan kerajaan (NGO) telah menampakkan semangat jitu rakyat Malaysia tanpa mengira landasan perjuangan politik untuk membersihkan proses pilihanraya di negara tercinta ini.

Nota: Kanta Lembah Pantai harap kita semua akan keluar pada 9hb Julai ini... kalau tak dapat ke KL pun, pakailah baju kuning di mana sahaja anda berada!

Pelancaran himpunan aman BERSIH 2.0

YB Nurul Izzah dan Raja Shahrir bergambar dengan anak-anak BERSIH2.0

Wednesday, 22 June 2011

Ceramah penerangan isu Qazaf

Untuk makluman pembaca Kanta Lembah Pantai, satu ceramah khas menerangkan isu Qazaf akan diadakan:

Tarikh: Sabtu 25hb Jun
Waktu: Selepas solat Maghrib
Tempat: Surau Balai Islam Taman Bukit Angkasa.

Ustaz Naim (ABIM) akan mengupas secara terperinci persoalan Qazaf.

Nota:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”
Riwayat al-Bazzat

Tuesday, 21 June 2011

Bengkel yang cukup berjaya

PANTAI DALAM, 18 Jun - Alhamdulillah, Kanta Lembah Pantai telah mendapat khabar yang program bengkel jahitan manik anjuran Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai telah berjaya dilaksanakan. Lebih 20 orang penduduk sekitar Lembah Pantai telah menyertai program yang berusaha mempertingkat daya ekonomi kaum wanita setempat.

YB Nurul Izzah telah melancarkan program ini, yang Kanta Lembah Pantai harap akan dapat dilaksanakan dengan lebih kerap lagi di masa hadapan, insyaAllah.

Pelancaran program Jahitan Manik
Peserta yang bersiap sedia untuk menjahit manik!
YB Nurul Izzah turut cuba menjahit

Ceramah Ke Arah Perubahan

BRICKFIELDS, 12 Jun - Warga Brickfields pada hari ini telah keluar beramai-ramai untuk mendengar ceramah umum yang telah diadakan di Dewan Pandu Puteri. Program ceramah anjuran PKR Lembah Pantai ini telah menarik minat lebih 1,200 orang, dan kelihatan cukup berjaya.

Para hadirin telah dapat mendengar ucapan-ucapan dari para penceramah termasuklah saudara Baktha, Dr Idris Ahmad (Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Wilayah Persekutuan), YB Kesavan (ADUN Hutan Melintang), Dato' Ambiga Sreenevasan (Pengerusi BERSIH 2.0), saudara Narasimhan (pengerusi jawatankuasa majlis 'Ceramah Ke Arah Perubahan') dan sudah pasti Dato' Seri Anwar Ibrahim.

YB Nurul Izzah, yang berada di Turki sebagai pemerhati yang dijemput secara rasmi kerajaan Turki, telah menyediakan juga rakaman ucapan yang beliau ingin sampaikan kepada hadirin.

Kanta Lembah Pantai mendapati alhamdulillah rata-rata sokongan warga India terhadap PKR dan Pakatan Rakyat cukuplah mantap!

Dewan yang dipenuhi penyokong PKR
Pasukan Wanita Lembah Pantai tekun bekerja

Siddik Ibrahim, Timb Ketua Cabang PKR Lembah Pantai

Dr Idris Ahmad, pengerusi MPN WP, memberi ucapan

Menanti ketibaan Ketua Umum KEADILAN

Poster SIVAJI!

Friday, 10 June 2011

Bengkel Jahitan Manik


Untuk makluman semua, sebuah bengkel jahitan manik akan diadakan di Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai pada Sabtu 18 Jun 2011, dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Program yang dianjur Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai dengan kerjasama Noriz De Fashion ini nampak akan membantu membudayakan ekonomi wanita di Lembah Pantai.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-2240 9475

Tarikh tutup penyertaan 15 Jun 2011, terhad kepada 20 orang peserta sahaja.

Wednesday, 8 June 2011

Gerai terlalu sempit?

PANTAI DALAM, 6 Mei - Rungutan penduduk telah sekali lagi sampai ke telinga dan emel Kanta Lembah Pantai. Baru-baru ini, sebuah deretan gerai baru siap dibangunkan di Jalan Bukit Angkasa, untuk menggantikan gerai-gerai di tepi jalan yang berhampiran.

Walaupun ini tindakan yang amat dialu-alukan, namun timbul sedikit rasa gelisah di kalangan penduduk apabila mereka melihat gerai-gerai tersebut. 

"Meter elektrik terlalu rendah, ruang gerai yang terlalu sempit, tempat letak meja yang terhad... macam mana kita nak gembira sangat?" jelas seorang penduduk yang ditemuramah Kanta Lembah Pantai.

Apabila dihubungi Kanta Lembah Pantai, YB Nurul Izzah memaklumkan bahawa pejabat beliau telah menghantar surat ke Jabatan Rancangan DBKL untuk mendapat maklumat lanjut mengenai isu ini.

Gerai di Jalan Bukit Angkasa

Meter elektrik yang terlalu rendah

Gerai terlalu sempit

Kerja Baikpulih Tak Begitu Baik

BUKIT BANDARAYA, 6 June - Kanta Lembah Pantai telah menerima khabar tentang isu tangki air yang rosak di Bukit Bandaraya seperti yang dikhabarkan baru-baru ini. Walaupun kerja baikpulih sudah bermula, tapi Kanta Lembah Pantai telah menerima rungutan penduduk tentang kualiti kerja yang cukup tidak memuaskan.

Lihat sahaja gambar-gambar di bawah.

Nota: Kalau nak baikpulih, pulihlah dengan baik-baik!

Lantai dikorek tidak diturap semula

Lantai yang masih terbiar

Baik tak pulih

Paip air untuk penduduk di Bukit Bandaraya

Paip untuk penyaliran air ke flat di Bukit Bandaraya

Monday, 6 June 2011

Penyerahan Kerusi Roda kepada Persatuan Damai



YB Nurul Izzah bersama Penerima Kerusi Roda

5 Jun-Ahad : YB Nurul Izzah melawat Persatuan Damai Orang Kelainan Upaya di Jalan Gasing. YB Nurul Izzah juga dibawa melihat sekitar kawasan Persatuan tersebut yang mula beroperasi sejak 1998. Dengan kegigihan dan semangat mereka walaupun kurang upaya tetapi mampu membawa rakan-rakan untuk hidup serumpun dalam Persatuan besar ini.

YB Nurul Izzah turut menyampaikan 20 Kerusi Roda untuk kegunaan mereka yang memerlukan kepada Persatuan Damai ini dan atas keperihatinan YB Nurul Izzah dan sumbangan mereka yang prihatin. Penyampaian kerusi roda ini diwakili Presiden Persatuan Damai, Sdr V.Murugeswaran.

Mereka ternyata gembira dan mengucapkan terima kasih kepada YB Nurul Izzah di atas bantuan kerusi roda yang disalurkan. Di akhir majlis, Presiden Persatuan menyampaikan Bunga tanda kenangan.


YB Nurul Izzah tekun mendengar penerangan berkenaan dengan Persatuan Damai

YB menyampaikan ucapan di majlis penyerahan

Kalungan Bunga kenangan dari Persatuan Damai




Thursday, 2 June 2011

Ramah Mesra di Pasar Malam PPR Kerinchi

PANTAI DALAM, 01 Jun - Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Nurul Izzah Anwar beramah mesra bersama masyarakat Lembah Pantai dalam lawatan Ramah Mesra di Pasar Malam PPR Kerinchi semalam.


Keramahan YB Nurul Izzah membuatkan masyarakat gembira bersama beliau

YB Nurul Izzah juga mengedarkan risalah Kenaikan Tariff Elektrik kepada orang ramai di Pasar Malam berkenaan. Ada yang berkesempatan mengambil gambar kenangan bersama YB idola anak-anak muda terutama remaja wanita.

Disamping itu, YB Nurul Izzah turut bertanya khabar dan permasalahan yang berlaku daripada peniaga-peniaga pasar malam. Dalam keadaan harga barang terus meningkat dan kenaikan tariff elektrik yang terus menghempap masyarakat terbanyak. Ramai yang melahirkan keluhan kepada YB Nurul Izzah.

YB Nurul Izzah bertanya khabar peniaga di pasar malam

Sambil edar risalah sambil membeli juadah

Wednesday, 1 June 2011

Serah memo tuntutan kepada IGP

YB Nurul Izzah dan YB Tian Chua bertemu anggota PDRM di Bukit Aman
KUALA LUMPUR, 1 Jun - Ketua Polis Negara diminta memberikan maklumat terkini mengenai penyiasatan kes kematian Ahmad Sarbaini, pegawai kastam yang ditemui mati di premis SPRM di Jalan Cochrane 6 April yang lalu. Begitulah memorandum tuntutan yang diserahkan YB Nurul Izzah, YB Tian Chua, N Surendren dan Shamsuliskandar di Bukit Aman hari ini.

Mereka menghantar memo sedemikian setelah mendapat maklumat tentang suatu laporan polis yang dibuat balu Ahmad Sarbaini yang berkata pegawai penyiasat SPRM berkata "ORANG" dia terlibat dalam kes berkenaan. Namun, masih belum ada apa-apa tindakan ataupun sebarang kenyataan yang dibuat pihak PDRM mengenai isu ini hingga hari ini.

Kanta Lembah Pantai berharap agar kebenaran akan terbongkar, dan keadilan akan terlaksana jua akhirnya, InsyaAllah.