Thursday 8 March 2012

Kg Pasir Dilanda Banjir (Sekali Lagi)

KG PASIR, 8 Mac - Tidak sampai sebulan, banjir sekali lagi melanda Kg Pasir. Setelah hujan turun sepanjang malam, air sungai di Kg Pasir telah melimpah, mengakibatkan rumah-rumah penduduk Kg Pasir dinaiki air.

YB Nurul Izzah telah turun untuk melihat antara kawasan yang paling teruk mengalami kerosakan akibat banjir tersebut bersama dengan En Ridzuan, Pegawai Perparitan DBKL. Antara kegelisahan yang dialami penduduk selain masalah banjir itu sendiri ialah sistem pemantauan banjir yang sudah tidak lagi berfungsi.

Difahamkan pembersihan kawasan banjir kilat oleh pihak DBKL dan penduduk telah membantu mengelak kenaikan air yang lebih serius.








Wednesday 7 March 2012

Bantahan penduduk sekitar Bukit Gasing

BUKIT GASING, 4 Mac - Gerakan Save Bukit Gasing telah mengadakan satu perhimpunan aman bagi membantah pembangunan di kaki Bukit Gasing. Perhimpunan ini telah mengumpulkan lebih kurang seratus penduduk yang tinggal berhampiran dengan tapak projek tersebut.

YB Nurul Izzah sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai turut hadir memberi sokongan.

YB Nurul Izzah menurunkan tandatangan

Bantahan penduduk sekitar Bukit Gasing

Tapak pembangunan di lereng Bukit Gasing

Monday 5 March 2012

Dialog Penduduk Jln Kurau dengan PDRM

BANGSAR, 3 Mac - Hampir 80 orang penduduk sekitar Jalan Riong, Jalan Kurau, dan Jalan Bilis telah turut serta dalam satu dialog bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), berkisar soal jenayah yang semakin meningkat di sekitar kawasan tempat tinggal mereka.

Program 2 jam ini telah menyaksikan pelbagai isu diutarakan penduduk, termasuklah sebab-musabab meningkatnya jumlah jenayah di Bangsar (dalam bulan Januari 2012 sahaja sudah direkod sebanyak 5 kes jenayah di Jalan Kurau dan Jalan Bilis), langkah berjaga-jaga yang boleh diambil penduduk, serta usahasama di antara pihak PDRM dan Rukun Tetangga Jalan Kurau.

Selain itu, penduduk juga disarankan menelefon Inspektor Suhaidi (016-7119820) yang bertugas di Balai Polis Pantai sekiranya ada apa-apa keperluan yang boleh disediakan pihak PDRM. Para penduduk juga disarankan mengadakan pertemuan sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan bersama pihak PDRM untuk memastikan tahap keselamatan sekitar Jalan Kurau adalah memuaskan.

Yang paling mustahak ialah kemahuan para penduduk untuk mengaktifkan semula Rukun Tetangga sekitar Jalan Kurau, yang diharapkan akan dapat merapatkan silaturrahim di kalangan jiran tetangga serta meningkatkan tahap keselamatan.

ACP Wan Bari berucap

Penduduk sekitar Jln Kurau yang hadir

Masalah Lalulintas Mengancam Anak-anak

BRICKFIELDS, 2 Mac - Anak-anak yang keluar dari sekolah mungkin dalam bahaya akibat lalulintas di Jalan Sultan Abdul Samad yang bertambah dengan mendadak, akibat pertukaran sistem trafik di sekitar Brickfields yang asyik berubah-ubah.

YB Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai, telah turun untuk meneliti keadaan pada hari ini demi memahami keadaan sebenar sekitar Jalan Sultan Abdul Samad, di mana terdapat enam buah sekolah (SK (P) Methodist 1 & 2, SK Brickfields 1 & 2, SRJK La Salle, SMK La Salle, dan SRK Convent St Teresa).

Dari apa yang Tim Kanta lihat, jelas anak-anak yang keluar sekolah terus ke jalan besar akan berhadapan dengan situasi trafik yang membahayakan diri mereka.

YB Nurul Izzah sekali lagi menggesa pihak bertanggungjawab, iaitu DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan, untuk melantik seorang jururunding trafik profesional untuk memberikan pendapat yang munasabah tentang langkah-langkah untuk mengatasi masalah trafik sekitar Brickfields yang belum diselesaikan hingga hari ini.

Keadaan bahaya bagi anak-anak yang keluar sekolah

YB Nurul Izzah mendengar keluhan seorang bapa

Ibu yang risau dengan trafik yang semakin teruk sekitar Brickfields

Thursday 1 March 2012

Kebakaran di PPR Kerinchi Blok B


KG KERINCHI, 28 Feb - Satu kebakaran kecil telah menyebabkan kerosakan kepada rumah seorang penduduk di Blok B, PPR Kg Kerinchi. Menurut mangsa, Pn Juliana, ketika kebakaran berlaku beliau ada di rumah bersama anak dan beliau sedang menyediakan makanan. Kebakaran dipercayai berpunca dari hos gas yang sudah longgar. Syukurlah tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku akibat daripada kejadian di siang hari ini.

Siasatan awal mendapati pili bomba yang disediakan pihak pengurusan PPR Kg Kerinchi tiada tekanan air. Kanta difahamkan pihak berwajib akan berusaha untuk memperbaiki kerosakan tersebut.

Dalam pada itu, YB Nurul Izzah telah melawat Pn Juliana untuk menghulurkan sedikit bantuan dan bertanya khabar selepas berlakunya kejadian kebakaran tersebut.

Nota Kanta: Walau apa pun, langkah berjaga-jaga harus dipupuk di kalangan penduduk, agar keselamatan nyawa dan harta benda terjaga sekiranya berlaku sebarang bala bencana.


YB Nurul Izzah memberi sumbangan kepada Pn Juliana






Melawat adik Nurul Nazatul

KUALA LUMPUR, 27 Feb - YB Nurul Izzah telah membuat kunjungan ke Hospital Besar Kuala Lumpur pada hari ini untuk menziarah adik Nurul Nazatul, yang telah mengalami kecederaan serius akibat terkena percikan minyak panas semasa pergi ke pasar malam. Kejadian tragis ini telah menyebabkan hampir 70% badan adik Nazatul melecur.


Pada masa yang sama, YB Nurul Izzah sempat singgah melawat anak ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang dimasukkan ke hospital kerana tekanan darah tinggi serta sakit cirit-birit.