Monday, 25 April 2011

Pertandingan Badminton Piala Nurul Izzah

Klik untuk lihat banner dengan lebih jelas
LEMBAH PANTAI - Buat julung kalinya, Piala YB Nurul Izzah Anwar akan dipertandingkan dalam satu pertandingan badminton beregu lelaki terbuka, zon Lembah Pantai.

Selain Piala YB Nurul Izzah, hadiah berupa pingat dan wang tunai berjumlah lebih RM1,300 bakal menjadi habuan kepada para pemenang.

Penyertaan adalah terhad, maka rebutlah peluang ini dengan menghubungi Izhar (016 254 4481), Mani (016 284 6017), Velu (016-642 4642) atau Herman (012-645 5903).

Tarikh tutup penyertaan: 2hb Mei

Sabtu, 7hb Mei 2011 bermula jam 8 pagi
di Lot 1504, Batu 8, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya

Sunday, 24 April 2011

Pemeriksaan Kesihatan & Gigi Percuma


Pantai Permai, 24 April : Hampir 110 orang yang hadir dan turut bersama di dalam Program Bulanan di Lembah Pantai, Pemeriksaan Kesihatan & Gigi Percuma. Program ini bermula seawal jam 9.oo pagi. Program ini dianjurkan oleh Parti Keadilan Rakyat Cabang Lembah Pantai dengan kerjasama PAS Cawangan Pantai Permai.

Sambutan yang meriah oleh masyarakat setempat dan salah satu perkhidmatan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Nurul Izzah Anwar untuk masyarakat di Lembah Pantai. Walaupun tiada bangunan sekukuh klinik 1Malaysia, tetapi mempunyai Doktor yang berpengalaman untuk membantu masyarakat setempat.

Salah seorang yang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Percuma

Proses Pendaftaran untuk Klinik Percuma
Adik yang melakukan pemeriksaan gigi di Klinik Percuma


Berkhidmat untuk Masyarakat Lembah Pantai




Dalam usaha memberikan khidmat terbaik untuk masyarakat dan warga Lembah Pantai, Pemeriksaan Kesihatan Percuma akan terus dilaksanakan di kawasan-kawasan lain juga dan akan dijadikan program bulanan.

Perkhidmatan Kesihatan Untuk Semua


Laporan polis ke atas Menteri Wilayah Persekutuan!

KUALA LUMPUR, 24 April - Bekas pekerja ladang Bukit Jalil mendesak polis campur tangan memastikan mereka yang menetap di Jalan Puchong tidak diusir secara paksa daripada kediaman mereka.

Desakan dilakukan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam.

Penyelaras Suaram, E Nalini berkata, laporan polis juga dibuat terhadap Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Ahmad Fuad Ismail serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Kami membuat laporan kerana individu terbabit enggan menyelesaikan masalah penduduk di sini."

"Polis perlu campur tangan supaya mereka tidak diusir secara paksa dan hak sebagai manusia dihormati seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara," katanya.

Baru-baru ini, DBKL menyerahkan notis pengosongan sebelum 15 Mac, namun aktiviti perobohan dihentikan selepas mendapat tentangan penduduk.

Penduduk juga menggesa DBKL menarik semula notis tersebut kerana tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang di bawah Seksyen 7(2) Akta Relif Spesifik 1950.

- Sinar Harian

Nota: Jangan usir rakyat! Hidup rakyat! Teruslah berjuang hingga ke titisan darah dan keringat terakhir!

Gotong-Royong di Kg Kerinchi

KG KERINCHI, 23 April - Pagi ini kawasan Flat 4 Tingkat PKNS Kg Kerinchi telah mengalami proses pembersihan, yang telah dilakukan penduduk setempat beserta YB Nurul Izzah, anggota KEADILAN Lembah Pantai serta pimpinan PAS kawasan Lembah Pantai.

Program "Gotong-Royong Ops Denggi" anjuran BENTAKK, Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, KEADILAN Lembah Pantai dan PAS Lembah Pantai ini telah diterima baik para penduduk. Syukurlah, dengan persekitaran yang bertambah bersih dan nyaman ini penduduk Flat 4 Tingkat PKNS Kg Kerinchi akan dapat berasa lebih selesa.

Semoga lebih program-program sebegini dijalankan, InsyaAllah.

Mari kita bersihkan persekitaran, dan juga proses Pilihanraya!

YB Nurul Izzah memberi kata-kata semangat

Seorang Ahli Parlimen menjaga hal perundangan, dan kadang-kala perparitan!

Penduduk bersama-sama membersih persekitaran

Senyum itu melepaskan keletihan

Anggota KEADILAN Lembah Pantai berehat seketika setelah keras bekerja

Saturday, 23 April 2011

Bertemu lepasan ISA

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin (kanan), bersama Kadir (dua dari kanan)


KG KERINCHI, 22 April - Kadir bin Hashim, 42, seorang OKU yang juga merupakan anggota KEADILAN yang baru-baru ini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama hampir tiga minggu, telah menerima kunjungan seramai 20 anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat bersama wartawan hari ini.


Sewaktu pertemuan ini, saudara Kadir telah menceritakan pengalaman beliau di bawah tahanan akta yang zalim ini. "Saya telah di torture secara mental. Walaupun begitu, saya terus tabah dengan dugaan dan cabaran. Ini suatu pengalaman bagi saya," jelas beliau. "Walau apa pun, saya tetap komited pada agenda parti dan reformasi. Paling penting: ISA dimansuhkan!"


"Sebenarnya cukup lucu kes saya ini... cuba fikirkan, bagaimana seorang OKU seperti saya boleh dilabel sebagai subversif?" tanya beliau, sambil tertawa. Walaupun begitu, Kadir turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dari hari beliau ditahan hinggalah hari ini.

Thursday, 21 April 2011

Program Kesihatan untuk Wanita

Alhamdulillah, kaum Hawa yang menetap di Lembah Pantai kini diberi peluang untuk meningkatkan tahap kesihatan mereka melalui satu program anjuran Ahli Parlimen Lembah Pantai - Pemeriksaan Mammografi dan Pap Smear Percuma.

Maklumat program:
Tarikh: 30 April 2011
Waktu: Jam 8 pagi - 1 petang.
Tempat: Pusat Kanser Negara, HKL
(Kenderaan Di Sediakan)

Berikut adalah syarat-syarat untuk menjalankan pemeriksaan percuma tersebut:
adalah wanita berumur 40 tahun ke atas
pendapatan isi rumah kurang daripada RM1,500 sebulan.

Bagi semua yang berminat mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan percuma ini, sila menghubungi Azura di talian 03 22409475 / 017 3278395.

Wednesday, 20 April 2011

Kadir Hashim bebas!

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Ilahi, setelah hampir tiga minggu ditahan bawah akta kejam ISA akhirnya Kadir bin Hashim, 42, seorang anggota KEADILAN dan penduduk di Kg Kerinchi, telah dibebaskan jam 3 petang tadi.

Kanta Lembah Pantai telah menerima SMS yang mengatakan saudara Kadir telah dibebaskan dan telah pulang ke rumah ibunya di Kg Kerinchi. Alhamdulillah, kerana sewaktu lawatan YB Nurul Izzah semalam, jelas ibunya merindui Kadir yang difahamkan sering menjaga beliau.

Tapi, janganlah bebaskan Kadir Hashim sahaja - bebaskan semua tahanan di bawah ISA! Mansuhkan ISA sekarang!

1Malaysia email

Kerajaan sedang membaca emel anda!
Sudahkah anda mendengar rancangan menubuhkan emel 1Malaysia untuk setiap warganegara Malaysia berumur 18 ke atas?

Dalam satu sms yang kami terima, dari theSun, yang berbunyi:
All Malaysians aged 18 and above will get 1MY email account for direct and secure citizen-govt communications
(Semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan menerima akaun emel 1MY untuk komunikasi terus antara rakyat dan kerajaan)
Apabila difikir sekali, boleh lah kita kata yang kerajaan amat peka dan ingin memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memperolehi akaun emel.

Tapi, apabila kita cuba fikirkan dengan lebih mendalam, amatlah jelas betapa membazirnya projek sebegini. Projek yang akan dikendalikan syarikat Tricubes Bhd ini dianggar bernilai RM50 juta, dan telah menimbulkan pelbagai soalan di hati rakyat. Antara lainnya:

  1. Tahap broadband penetration di Malaysia buat waktu ini baru sekitar 60% - bagaimanakah dengan adanya emel, rakyat di kawasan luar bandar terutamanya akan menerima faedah sekiranya untuk mendapatkan akses internet juga begitu sukar?
  2. Siapakah yang sebenarnya mendapat manfaat projek ini? Adakah kita rakyat Malaysia yang bakal menerima faedah, atau adakah syarikat yang terlibat?
  3. Kononnya, sistem emel 1MY ini diadakan untuk menambahbaik perhubungan antara rakyat dan kerajaan. Adakah ini bermakna kerajaan Barisan Nasional beranggapan tahap perhubungan yang sedia ada tidak memuaskan?
  4. Sekiranya projek ini adalah suatu projek swasta (lihat tweet dibawah yang ditulis YAB Perdana Menteri tengah malam tadi), bagaimanakah rakyat boleh mendapat kepastian yang segala maklumat terkandung dalam sistem emel 1MY ini tidak akan disalahguna, seperti yang kita lihat seringkali berlaku dengan penjualan data semasa kita mengisi pelbagai jenis borang dsb?
  5. Jika benar syarikat Tricubes Bhd, sebuah syarikat swasta, akan melabur dana sebanyak RM50 juta ke dalam projek ini, bagaimanakah syarikat ini yang dikatakan menghadapi masalah di Bursa Saham akan menebus ganti dana yang dilaburkan? 
Tweet Datuk Seri Najib tengah malam tadi
Begitu banyak persoalan, rakyat cuma menunggu jawapan.

Pasca-skrip: Joinlah FB group ini sekiranya anda setuju.

Tuesday, 19 April 2011

Melawat keluarga Kadir Hashim

Tengah hari tadi, YB Nurul Izzah Anwar telah melawat ibu dan abang kepada saudara Kadir Hashim, 42, yang telah ditahan di bawah Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1hb April lalu.

YB Nurul Izzah melawat ibu kepada Kadir Hashim (kiri)
Dalam lawatan setengah jam itu, YB Nurul Izzah telah meluangkan masa untuk mendapat tahu dengan lebih mendalam kejadian penahanan saudara Kadir di rumahnya di Kg Kerinchi. Serbuan yang dibuat lebih 20 anggota polis itu telah berlaku lebih kurang jam 6.50 petang, dan sehingga hari ini saudara Kadir belum dibenarkan mendapat nasihat guaman.

Apa yang agak ganjil adalah surat penahanan yang tidak mempunyai logo PDRM. Apabila beliau bertanya kepada para peguam yang sudah biasa mengendalikan kes-kes ISA, YB Nurul Izzah diberitahu ini bukan surat yang biasa diberi. Maka persoalannya, mengapakah pihak PDRM telah mengeluarkan surat sebegini?

Surat yang diberi kepada Musa Hashim, abang saudara Kadir
Walaubagaimanapun, sekiranya Kadir Hashim - yang setahu keluarganya belum pernah didakwa dan tiada rekod jenayah - benar-benar menggugat keselamatan negara, maka PDRM haruslah membawa beliau ke mahkamah yang terbuka untuk dibicarakan dengan adil, agar beliau dapat membela diri sendiri.

Mansuhkan ISA!

Monday, 18 April 2011

Kebakaran di Pantai Dalam

PANTAI DALAM, 18 April 2011 - YB Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai telah membuat lawatan serta menghulurkan bantuan zakat kepada 14 keluarga yang telah kehilangan tempat tinggal dan harta benda akibat kebakaran yang berlaku di Kampung Simpang Tiga, Pantai Dalam Jumaat lalu.

YB Nurul Izzah mendengar kisah pilu penduduk Kg Simpang Tiga
Beliau telah meluangkan masa untuk lebih mengenali para penduduk yang buat masa ini menetap di sebuah dewan serbaguna yang berhampiran.

Selain bantuan zakat, YB Nurul Izzah turut memberikan bantuan berupa barang keperluan harian, pakaian sekolah serta kain lampin untuk keluarga yang mempunyai anak-anak kecil.

Walau hilang harta benda, syukurlah nyawa masih ada
"Saya berharap kita dapat bersabar dalam menghadapi musibah yang melanda. InsyaAllah saya akan bantu untuk memastikan rumah-rumah yang telah dijilat api tempoh hari akan dapat dibangunkan semula," kata beliau selepas sesi pemberian bantuan. "Saya akan bekerjasama dengan beberapa agensi yang lain untuk memastikan proses pembinaan semula rumah-rumah ini dapat dijalankan secepat mungkin."

YB Nurul Izzah sempat melawat tapak-tapak rumah yang telah musnah akibat kejadian kebakaran. "Syukurlah tiada siapa yang tercedera, dan alhamdulillah surau di penghujung barisan rumah-rumah ini turut terselamat," kata beliau.

Kebakaran di Kg Simpang Tiga, Pantai Dalam pada 15 April lalu