Sunday 24 April 2011

Laporan polis ke atas Menteri Wilayah Persekutuan!

KUALA LUMPUR, 24 April - Bekas pekerja ladang Bukit Jalil mendesak polis campur tangan memastikan mereka yang menetap di Jalan Puchong tidak diusir secara paksa daripada kediaman mereka.

Desakan dilakukan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam.

Penyelaras Suaram, E Nalini berkata, laporan polis juga dibuat terhadap Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Ahmad Fuad Ismail serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Kami membuat laporan kerana individu terbabit enggan menyelesaikan masalah penduduk di sini."

"Polis perlu campur tangan supaya mereka tidak diusir secara paksa dan hak sebagai manusia dihormati seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara," katanya.

Baru-baru ini, DBKL menyerahkan notis pengosongan sebelum 15 Mac, namun aktiviti perobohan dihentikan selepas mendapat tentangan penduduk.

Penduduk juga menggesa DBKL menarik semula notis tersebut kerana tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang di bawah Seksyen 7(2) Akta Relif Spesifik 1950.

- Sinar Harian

Nota: Jangan usir rakyat! Hidup rakyat! Teruslah berjuang hingga ke titisan darah dan keringat terakhir!

No comments:

Post a Comment