Monday 23 May 2011

Bantahan Penduduk Contessa Condo

BUKIT BANDARAYA, 23 Mei - Para penduduk Contessa Condominium di Bukit Bandaraya telah hari ini menghantar petisyen kepada pihak DBKL membantah pembangunan sebuah banglo di Jalan Kapas, Bangsar, yang berada di sebuah lereng bukit yang curam (melebihi 35 darjah).

Dalam pertemuan di antara wakil penduduk Contessa Condominium, Timbalan Presiden Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya (BBRA) En Mumtaz Ali, Ahli Parlimen Lembah Pantai YB Nurul Izzah, dan Pengarah Jabatan Perancang Bandar Tn Hj Mahadi Che Ngah, para penduduk telah menimbulkan rasa kesal mereka terhadap pemaju yang tidak bersifat terbuka dalam memaklumkan status sebenar pembangunan tersebut.

"Tapak ini akan dibangunkan menjadi unit rumah dengan 4 tingkat bawah tanah dan 10 tingkat ke atas. Kepadatan penduduk akan meningkat dari 30 seekar ke 79 seekar, iaitu penambahn 164%!" jelas En Mumtaz Ali.

"Kami tidak tolak pembangunan, tapi dalam kes ini di mana lebih 76% pemilik di Contessa Condominium membantah, pihak berkuasa harus mendengar rintihan kami," kata Dr Christopher KL Shun, salah seorang wakil penduduk Contessa Condominium.

"Kami berhak mendapat maklumat, termasuklah kepada 1) laporan penilaian kesan alam sekitar (environmental impact assessment), 2) kajian lalulintas di kawasan kami, dan 3) kajian kecerunan bagi tapak tersebut," tambah beliau.

Kanta Lembah Pantai difahamkan Pengarah Jabatan Perancang Bandar, Tn Hj Mahadi, akan pergi ke tapak petang ini untuk melihat sendiri tapak pembinaan tersebut.

"Kami bukan menolak pembangunan, tapi bagi kes pembangunan lereng bukit sudah terlalu banyak tragedi yang menimpa rakyat," jelas YB Nurul Izzah. "Saya kecewa kerana ini bukan kali pertama penduduk membantah projek tersebut... malah, saya dimaklumkan yang projek ini sebenarnya masih dalam pertimbangan dan belum pun diluluskan pihak DBKL!"

Kami di Kanta Lembah Pantai berharap agar pihak berkuasa prihatin dengan keresahan yang timbul di hati rakyat akibat projek ini, dan semoga satu jalan penyelesaian yang rapi dan adil akan dapat dicari bersama.


YB Nurul Izzah menjelas bantahan penduduk Contessa Condominium

Pembangunan di lereng curam (lebih 35 darjah) di Jalan Kapas, Bkt Bandaraya
Penduduk dimaklumkan tempoh bantahan ialah hingga 28 Mei 2011

No comments:

Post a Comment