KUALA LUMPUR, 1 MEI: KEADILAN mencadangkan agar satu kontrak baru termasuk penetapan gaji minimum dilaksanakan bagi membela golongan pekerja di negara ini, kata Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar.
Beliau berkata, kontrak itu meliputi tujuh tuntutan termasuk pelepasan cukai RM5,000 setahun untuk pendidikan bagi memantap dan mempertingkat tahap kemahiran mereka.
“Memandangkan pentingnya tenaga pekerja dalam membangunkan Malaysia, saya menyarankan suatu kontrak baru (New Deal) khusus untuk golongan pekerja, sama ada baru atau sudah lama bekerja.
“Ia turut meliputi pembebasan cukai bagi pembelian kereta buat kali pertama dan bagi pekerja berumur 50 tahun dan ke atas, kadar cukai pendapatan harus dihad kepada 15 peratus,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Selain itu, Nurul Izzah berkata, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga harus diberi perlindungan takaful bernilai RM500,000 secara percuma.
“Begitu juga cuti bersalin suami (paternity leave) selama 30 hari dan hak berpersatuan bagi pekerja dalam semua sektor harus diambil kira dalam kontrak baru,” katanya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu yakin kontrak baru itu boleh dilaksanakan jika kerajaan memanfaatkan setiap sen wang rakyat.
“Bagi yang bertanya bagaimana tujuh janji kontrak baru dapat dilunaskan, maka ia berpandukan tujuh langkah termasuk menghapus subsidi korporat yang diberi kepada pemegang konsesi tol dan penjana kuasa bebas (IPP).
“Menghapuskan ketirisan ekonomi, rasuah, menguruskan khazanah minyak, gas asli dan pentadbiran kerajaan melalui tata kelola yang baik serta melalukan reformasi politik secara menyeluruh,” katanya.
No comments:
Post a Comment