Friday, 19 August 2011

Nurul Izzah melawat PPUM

PETALING JAYA, 17 Ogos - Sempena bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut pada hujung bulan ini, ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden KEADILAN, YB Nurul Izzah Anwar, membuat lawatan dan menyerahkan sumbangan kepada pesakit-pesakit di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam.

Nurul Izzah bersama-sama dengan Presiden KEADILAN, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa kira-kira dua jam bersama-sama dengan 300 orang pesakit.

"Lawatan ini dilakukan bagi melawat pesakit-pesakit yang kemungkinan tidak akan dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana terpaksa menerima rawatan dan diharapkan sumbangan yang diberikan ini akan dapat menceriakan mereka,'' katanya di sini semalam.

Sumbangan diberikan kepada pesakit di Wan Kanak-Kanak, Wad Bersalin, Wad Warga Tua, Wan Kanser dan Wad Wanita.

Sementara itu ketika ditemui Nurul Izzah meminta agar kerajaan agar lebih prihatin terhadap perbelanjaan sektor kesihatan di negara ini dengan mengambil kira aspek penyelarasan semula skim gaji para medik di mana ia perlu dipertingkatkan serta diberi keutamaan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.

Beliau menambah, ini kerana skim gaji para medik itu kini dilihat tidak berbaloi dengan usaha dan penat lelah mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

“Jika dilihat sistem kesihatan di Malaysia, doktor yang bekerja di pusat perubatan kerajaan memiliki gaji yang rendah berbanding hospital swasta tetapi mereka tetap memberikan perkhidmatan terbaik, begitu juga dengan jururawat mereka. Jadi kita perlu pertahankan mereka.

“Perkara ini juga perlu diambil secara serius kerana pada masa depan nanti, saya fikir sistem kesihatan yang sedia ada perlu peningkatan dari segi perbelanjaan, perkapita dalam perubatan di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap bidang kesihatan ini di negara ini berikutan kurang mendapat perhatian kerajaan terutamanya dalam penyediaan bajet kesihatan yang semakin berkurangan jika dibandingkan dengan negara-negara lain.

“Saya nampak apabila dalam mana-mana belanjawan Malaysia, perkara pertama dipotong adalah bajet kesihatan. Maka kalau kita pergi ke klinik-klinik farmasi di hospital kerajaan rata-rata banyak ubat-ubatan yang kekurangan kerana mereka menjadi mangsa dalam potongan kepada belanjawan.” 

Lantaran itu, beliau meminta kerajaan mengkaji semula perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh pihak kerajaan selama ini yang dilihat terdapat banyak kelonggaran dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Dalam mana-mana negara pun, tanggungjawab menyediakan perkhidmatan kesihatan adalah tanggungjawab kerajaan. Maka tidak wujud istilah perkhidmatan kerajaan atau perkhidmatan swasta. Khusunya Petronas dengan Prince Court dan sebagainya.

“Kerana kerajaan perlu jadi pengatur, dia memantau selia bagaimanakah perjalanan perbelanjaan dan gajian pada doktor dan jururawat yang perlu dipertingkatkan sekarang ini,” ujarnya lagi. 


Cepatlah sembuh!
Melawat pesakit di wad pediatrik 
Di wad sakit puan, sempat bermesra dengan seorang pesakit

No comments:

Post a Comment